Monday, August 13, 2012

malam lailatul qadar

ALHAMDULULAH dengan rahmat-Nya jua Qari berkesempatan berada di bulan Ramadan iaitu bulan rahmat, bulan keberkatan, bulan kesejahteraan, bulan keampunan, kebaikan dan pahala. Bulan Ramadan memberi kesempatan yang amat baik bagi umat Islam diSingapura meningkatkan kualiti iman dan takwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan amal ibadat, kerana di dalamnya terdapat Lailatulqadar yang nilai ibadahnya lebih baik daripada seribu bulan.

Malam Lailatulqadar adalah suatu malam yang paling utama di antara malam-malam yang ada di bulan Ramadan bahkan sepanjang tahun. Ia adalah malam yang penuh keberkatan dan mempunyai keistimewaan. Melakukan amal ibadat di malam tersebut adalah lebih baik ganjarannya dari melakukan amal ibadat selama seribu bulan.

Firman Allah di dalam surah Al-Qadr ayat 3:
Tafsirnya: Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan."

Lailatulqadar adalah anugerah Allah Subhanahu Wataala hanya untuk umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berlaku setiap kali bulan Ramadan sepanjang tahun sampai Hari Kiamat. Lailatulqadar ialah malam kemuliaan, malam keselamatan, malam kelimpahan rahmat Allah, iaitu satu malam yang mengandungi peristiwa penting bagi kemuliaan insan. Malam penuh kelebihan dan keistimewaan yang berlaku di bulan Ramadan dengan mempunyai keutamaan seperti ber- ikut :-

1. Malam diturunkan Al-Quran Al-Karim.

2. Malam yang lebih baik dari seribu bulan.


3. Malam Malaikat Jibril Alaihissalam turun untuk mengatur segala urusan dengan izin Allah.

4. Malam penuh kesejahteraan.

Adapun hikmat disembunyikan Lailatulqadar itu (tidak ditentukan malamnya secara khusus) ialah supaya kita dapat menghidupkan semua malam di bulan Ramadan yang mubarak ini dengan berusaha mencarinya, meningkatkan ibadat pada setiap malam, barangsiapa sahaja di antara kamu yang beruntung dan tepat beribadat pada malam-malam yang mubarak itu, maka dialah yang mendapat keuntungan yang sangat besar dan bertuah sekali.

Disebabkan untuk mendapatkan Lailatulqadar itu masih berkemungkinan ada, walaupun tidak siapa yang tahu dan dapat memastikannya dengan tepat bilakah datangnya Lailatulqadar itu, kerana mengikut setengah hadis mengatakan bahawa Lailatulqadar itu ialah di malam sepuluh terakhir bulan Ramadan sepertiman:

Hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dari Saiyidatina Aisyah Radiallahuanha bermaksud : "Carilah dengan berhati-hati Lailatulqadar di malam-malam yang ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadan."

Bahkan Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam sendiri menghidupkan sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan itu dengan membanyakkan amal ibadat kepada Allah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah Radiallahuanha yang bermaksud : "Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam beriktikaf pada sepuluh terakhir bulan Ramadan, sehingga Baginda wafat kemudian dihidupkan (disunatkan) iktikaf selepasnya oleh para isteri Baginda."

Dari keterangan hadis di atas adalah jelas menunjukkan betapa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri lagi berusaha dengan bersungguh-sungguh sehingga Baginda mengurangkan tidurnya demi mendapatkan Lailatulqadar yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tidak terkira itu. Oleh sebab itu Qari rasa marilah kita mengambil kesempatan berusaha menghidupkan malam Ramadan dengan melakukan amal ibadat pada malam-malam Ramadan ini dengan sebaik-baik mungkin seperti :

1. Beriktikaf di masjid.

2. Sembahyang berjemaah dan seterusnya bersembahyang Tarawih dan Witir.

3. Membanyakkan membaca Al-Quran dan bertedarus beramai-ramai.

4. Membanyakkan berdoa, beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wataala.

5. Membanyakkan sembahyang-sembahyang sunat seperti Tahajjud, Tasbih, Taubat dan lain-lain.

Qari berharap, mudahan-mudahan dengan kesungguhan dan keikhlasan kita berpuasa, bersembahyang, mengamalkan membaca Al-Quran dan kesungguhan mencari malam Lailatulqadar akan membersihkan kita dari dosa-dosa dan diangkat darjat kita kepada darjat orang-orang muqarrabin. Amin

No comments:

Post a Comment